IGEM 2021 jana potensi pelaburan RM4.6 bilion [METROTV]

Share on facebook
Share on twitter
Share on linkedin

Bangi: Persidangan dan Pameran Antarabangsa Greentech dan Produk Eko Malaysia Ke-12 (IGEM 2021) yang berakhir Disember tahun lalu berjaya menjana potensi pelaburan perniagaan bernilai RM4.6 bilion, meningkat 35.3 peratus berbanding RM3.4 bilion yang dicatatkan pada edisi sebelumnya.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, dalam tempoh enam bulan penganjuran, IGEM 2021 mencatatkan lebih 15,000 pelawat berdaftar terdiri daripada syarikat awam berhad, usahawan mikro, kecil dan sederhana, agensi kerajaan, ahli akademik dan orang awam yang berminat terhadap kepelbagaian produk dan perkhidmatan teknologi hijau inovatif yang ditampilkan dalam 195 gerai pameran secara maya.

Selain itu katanya, sebanyak 144 sesi persidangan membabitkan 26 rakan persidangan terdiri daripada 250 pakar berjaya dianjurkan, manakala rekod kehadiran peserta persidangan mencecah seramai 8,496 perwakilan peringkat nasional dan antarabangsa.

“IGEM 2021 adalah penganjuran kali kedua secara dalam talian. Ia adalah platform usahawan, peniaga dan pemain industri untuk memacu pertumbuhan sektor hijau melalui penerokaan peluang baharu, perkongsian pintar, pembinaan rangkaian strategik, perungkaian cabaran dan pembangunan teknologi ke arah agenda kelestarian.

“Antara usaha niaga yang ditandatangani terdiri daripada sektor hidrogen, kenderaan elektrik dan bandar rendah karbon.

Dr Mansor (tengah) bersama Shamsul Bahar (kiri) dan Arham Abdul Rahman (kanan) pada Sidang Media Pengumuman Pencapaian International Greentech & Products Exhibition & Conference Malaysia (IGEM 2021). FOTO AZHAR RAMLI
Dr Mansor (tengah) bersama Shamsul Bahar (kiri) dan Arham Abdul Rahman (kanan) pada Sidang Media Pengumuman Pencapaian International Greentech & Products Exhibition & Conference Malaysia (IGEM 2021). FOTO AZHAR RAMLI

“Semua sektor ini dilihat banyak menyokong agenda ekonomi mampan, peluang pekerjaan dan limpahan manfaat kepada rakyat,” katanya pada sidang media mengumumkan pencapaian IGEM 2021 di sini, hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Mansor Othman.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida), Datuk Arham Abdul Rahman dan Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Perubahan Iklim dan Teknologi Hijau Malaysia (MGTC), Shamsul Bahar Mohd Nor.

Mengulas lanjut Tuan Ibrahim berkata, selepas dua tahun IGEM diadakan secara dalam talian, penganjuran IGEM Ke-13 akan diadakan secara hibrid, dijangka pada Oktober 2022.

Katanya, platform digital www.virtual.igem.my akan dibuka dan format fizikal akan berlangsung selama tiga hari bermula 12 Oktober hingga 14 Oktober di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

“Edisi maya akan bermula sebulan sebelum sesi fizikal. Pelaksanaan IGEM 2022 juga telah menetapkan sasaran potensi perniagaan sebanyak RM3 bilion, dihadiri oleh 30,000 pelawat dan 300 pameran yang akan disediakan.

“IGEM 2022 ini akan menjadi tumpuan utama di kalangan pihak berkepentingan dalam pelaksanaan dan penyelarasan strategi yang lebih berkesan terhadap perubahan iklim negara,” katanya.

Sumber : Harian Metro