Malaysia berdepan impak perubahan iklim agak ketara

Tuan Ibrahim bersama Shamsul Bahar (kiri), Zaini (dua kiri) dan Timbalan Ketua Setiausaha (Alam Sekitar) Kementerian Alam Sekitar dan Air, Noor Afifah Abdul Razak (kanan) pada pra pelancaran IGEM 2022 di Kuala Lumpur Convention Centre. – Foto NSTP/Saifullizan Tamadi

KUALA LUMPUR: Malaysia berdepan impak perubahan iklim yang agak ketara sejak kebelakangan ini menerusi beberapa insiden yang boleh disaksikan, termasuk banjir kilat dan limpahan bah yang menjejaskan beberapa kawasan baharu.

Justeru itu, Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata adalah penting bagi semua pihak termasuk swasta dan kerajaan untuk menyediakan pelan pembangunan masa depan yang mengambil kira faktor perubahan iklim.

“Kita akui sudah berdepan perubahan iklim yang agak ketara, banjir di Kuala Lumpur dan di bandar-bandar. Sebab itu pelan perancangan pembangunan masa depan ini perlu mengambil faktor perubahan iklim ini.

“Kita ada dana RM35 juta yang diberikan kerajaan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT). Sebahagiannya sudah dilaksanakan, contohnya program menukar lampu kepada LED, sistem solar, penghijauan dan program pengurangan karbon di bandar,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Pra Pelancaran Persidangan dan Pameran Antarabangsa Greentech dan Produk Eko Malaysia (IGEM) 2022 di sini, hari ini.

IGEM 2022 dijadual berlangsung pada 12 hingga 14 Oktober depan.

Yang turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA),

Datuk Seri Ir Dr Zaini Ujang dan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Green Technology and Climate Change Corporation (MGTC), Shamsul Bahar Mohd Nor.

Terdahulu, Tuan Ibrahim dalam ucapannya berkata, tiga insiden banjir buruk di Yan, Kedah; Janda Baik, Pahang dan terbaru di Baling, Kedah menunjukkan tiada kawasan di negara ini yang boleh dijamin tidak menerima impak perubahan iklim.

“Latar isu alam sekitar pada hari ini tertumpu kepada perubahan iklim dan pemanasan global. Fenomena ini disorot sejak kepesatan Revolusi Industri lagi.

“Laporan Kumpulan Kerja Pertama bagi penghasilan laporan Penilaian Keenam Intergovernmental Panel on Climate Change (IPCC) menunjukkan pemanasan global sudah mencapai 1.1 darjah celsius, berbanding paras era pra perindustrian tahun 1850 hingga 1900,” katanya.

Beliau berkata, unjuran peningkatan pemanasan global sehingga 1.5 darjah celsius akan memberi kesan besar di peringkat global seperti peningkatan suhu purata global, peningkatan taburan hujan, musim kering, peningkatan aras laut, dan kehilangan biodiversiti.

“Ia turut memberi kesan gandaan kepada ketahanan ekonomi, politik dan kerukunan sosial masyarakat,” katanya.

Sumber : Berita Harian