MGTC, Envision Digital percepat sasaran sifar bersih negara

Zaini (dua dari kanan) menyaksikan perjanjian perkongsian antara Shamsul Bahar (kanan) dan Pengarah Eksekutif Global Envision Digital, Michael Ding (kiri)
Zaini (dua dari kanan) menyaksikan perjanjian perkongsian antara Shamsul Bahar (kanan) dan Pengarah Eksekutif Global Envision Digital, Michael Ding (kiri)

KUALA LUMPUR: Perbadanan Teknologi Hijau dan Perubahan Iklim Malaysia (MGTC) dan Envision Digital baru-baru ini menandatangani perjanjian perkongsian baharu untuk mempercepatkan perjalanan sifar bersih Malaysia dan mempromosikan pengesanan jejak karbon masa nyata.

Ketua Pegawai Eksekutif MGTC, Shamsul Bahar Mohd Nor, berkata, mencapai sifar bersih bermaksud mengurangkan pembentukan pelepasan di atmosfera yang memanaskan planet ini.

Katanya, dengan peningkatan suhu, dunia menghadapi beberapa perubahan alam sekitar yang tidak dapat dipulihkan.

“Isu seperti kekurangan makanan dan air, cuaca tidak menentu, dan wabak penyakit boleh menjejaskan manusia dan generasi akan datang untuk tahun-tahun akan datang. Secara global, banyak syarikat sedang memulakan peralihan sifar bersih dan penyahkarbonan sudah pasti adalah bahagian pertama dan paling penting dalam agenda ini.

“Perkongsian kami dengan Envision Digital akan membolehkan syarikat mengukur pelepasan karbon mereka, mengurus aktiviti perniagaan dan mengambil tindakan untuk mengurangkan pelepasan mereka.

“Peluang ini akan membuka jalan untuk kita mempromosikan ekonomi hijau dan merealisasikan misi nasional untuk membina negara neutral karbon menjelang 2050,” katanya dalam satu kenyataan.

Majlis pertukaran dokumen di antara kedua-dua pihak diadakan baru-baru ini di Persidangan dan Pameran Antarabangsa Greentech dan Produk Eko Malaysia 2022 (IGEM 2022), disaksikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air Datuk Seri Ir Dr Zaini Ujang.

Di bawah Rancangan Malaysia Ke-12, Malaysia mengumumkan matlamat bercita-cita tinggi untuk mencapai neutraliti karbon menjelang 2050 dan mengurangkan intensiti pelepasan gas rumah hijau (GHG) bagi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 45 peratus menjelang 2030.

Sebagai sebahagian daripada kerjasama itu, kedua-dua pihak akan bersama-sama membangunkan sistem pengendalian karbon rendah (LCOS) untuk membolehkan perniagaan tempatan di seluruh Malaysia memantau dan mengurus pelepasan karbon mereka.

Dikuasakan oleh EnOS Ark, penyelesaian pengurusan karbon Envision Digital, LCOS membenarkan pihak berkepentingan utama untuk memangkinkan momentum penyahkarbonan dan pendigitalan, serta mendapatkan cerapan masa nyata mengenai jejak karbon mereka.

Sementara itu Pengarah Urusan, Malaysia di Envision Digital, Azaidi Mohd Lazim, berkata: “Perkongsian dengan MGTC ini menyerlahkan komitmen kami untuk menyokong perjalanan penyahkarbonan Malaysia dan membantu membuka peluang bagi perniagaan untuk mempercepatkan peralihan sifar bersih mereka dengan cara yang inovatif.

“Sebagai rakan kongsi teknologi sifar bersih global untuk kedua-dua kerajaan dan syarikat, kami percaya perkongsian awam-swasta adalah penting untuk mewujudkan dunia sifar bersih,” katanya.

Sumber : Berita Harian