IGEM 2019 dijangka raih RM2.8b potensi perniagaan

MENTERI Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin berucap pada Persidangan dan Pameran Teknologi Hijau dan Produk Eko Antarabangsa (IGEM) di Kuala Lumpur. - Foto BERNAMA
MENTERI Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin berucap pada Persidangan dan Pameran Teknologi Hijau dan Produk Eko Antarabangsa (IGEM) di Kuala Lumpur. – Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim menyasarkan sebanyak RM2.8 bilion potensi perniagaan akan dijana menerusi Persidangan dan Pameran Teknologi Hijau dan Produk Eko Antarabangsa (IGEM) bagi tahun ini.

Menterinya, Yeo Bee Yin, berkata angka sasaran itu adalah potensi perniagaan tertinggi yang pernah disasarkan kementerian sejak IGEM mula dianjurkan sembilan tahun lalu.

Katanya, sebahagian daripada potensi perniagaan itu akan disumbangkan oleh segmen tenaga boleh diperbaharui susulan terdapat banyak perkembangan pada dasar berkaitan tenaga boleh diperbaharui di negara ini.

“IGEM mempamerkan tujuh sektor berkaitan industri hijau dan kami jangkakan memorandum persefahaman (MOU) yang akan dimeterai kelak turut membabitkan ekonomi rendah karbon.

“Setakat ini IGEM sudah menjana pelaburan keseluruhan mencecah RM23 bilion sejak ia dilaksanakan pada 2010,” katanya pada majlis sidang media IGEM 2019 yang ke-10, di sini, tadi.

Pameran tahunan yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), selama tiga hari bermula hari ini dijangka menarik 35,000 pengunjung dan membabitkan 300 pempamer dari 35 negara.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kementerian memperuntukkan sebanyak RM3 juta untuk pelaksanaan acara tahunan industri teknologi hijau itu pada tahun ini.

Katanya, IGEM 2019 akan menjadi platform memperkenalkan inovasi dalam industri hijau serta manfaat kepada pembangunan perniagaan industri hijau tempatan menerusi padanan perniagaan.

Sumber : Berita Harian